Thursday, June 18, 2009

722 murid 10 DUN terima e-book

KIJAL – Ramai murid mengetahui cara menggunakan komputer riba (e-book) kerana mereka diberi pendedahan oleh guru mahupun ibu bapa masing-masing.

Walaupun baru berumur 11 tahun, namun kebijaksanaan mereka menghargai pemberian kerajaan negeri dirasai kerana masing-masing berazam belajar bersungguh-sungguh demi kecemerlangan dalam bidang akademik.

Pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Kijal, Rabiatul Norafizah Raslim, 11, berkata, sejak awal lagi, guru di sekolahnya memberi pendedahan mengenai langkah penggunaan e-book, selain cara penjagaan sempurna.

“Saya mahir menggunakan internet dan semua perisian yang terdapat di dalamnya, perasaan seronok tidak dapat digambarkan sehingga saya tidak tidur malam kelmarin untuk menunggu majlis ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Rabiatul Norafizah dan beberapa murid lain menerima sumbangan e-book pada Majlis Penyerahan E-Book dan Bantuan Pakaian Seragam membabitkan 10 sekolah di Kawasan Dewan Undangan Negeri Kijal di Sekolah Kebangsaan Ibok, disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, kelmarin.

Menurut Rabiatul, penggunaan e-book harus diperluaskan kepada semua murid namun dia memahami tidak semua murid memiliki keistimewaan itu.

“Saya berjanji menjaga peralatan ini dengan sempurna. Saya memahami komputer riba mudah rosak dan perisiannya agak sensitif, ibu bapa saya juga akan membantu menjaga nya,” katanya.

Bagi Mohd Khairul Nizam Sabree, 11, dia berjanji tidak akan menyalahgunakan komputer riba untuk bermain permainan video kerana tidak mahu mensia-siakan peluang diberikan kepadanya.

“Saya tidak akan menyalahgunakannya. Bagi saya sia-sia sahaja kerajaan negeri membelanjakan jutaan ringgit untuk kemudahan ini tetapi murid tidak tahu memanfaatkannya,” katanya.

Menurut Mohd Khairul, dia sudah memiliki komputer di rumah dan ibu bapanya sudah lama mengajar cara menggunakannya.

“Ayah banyak mendedahkan saya dengan dunia sains dan teknologi. Setakat ini saya mahir melayari internet, menyalin fail, menaip dan membaca maklumat dalam internet,” katanya.

Mohd Khairul juga berharap semua murid yang menerima kemudahan itu tidak menyalahgunakan e-book selain memanfaatkan ruang bagi menambah ilmu serta pengalaman demi kecemerlangan dalam bidang akademik.

Pada majlis itu, Ahmad menyerahkan e-book kepada 722 penerima e-book peringkat pertama bagi keperluan pembelajaran mereka.

Beliau turut menasihatkan penerima e-book supaya menjaga peralatan itu dengan baik dan tidak menggunakannya untuk melayari lama web tidak berfaedah atau bermain ‘games’ yang boleh melalaikan.

No comments:

Post a Comment